السلام عليكم
Setelah berakhirnya musim berpuasa Ramadhan dan Hari Raya, kini kita akan bertemu semula berbagai aneka musim di akhir tahun seperti musim peperiksaan, musim perkahwinan dan bagi sesetengah muslimin dan muslimat, musim Ibadah Haji adalah yang paling istimewa.
Kenapa saya katakan musim Ibadah Haji adalah yang paling istimewa di antara musim-musim yang lainnya?. Ini adalah kerana persiapan mengerjakan haji memerlukan persiapan yang sangat rapi dan memakan masa yang panjang kerana ianya melibatkan persediaan rohani dan jasmani.
Bagi kebanyakan jemaah haji, persediaan-persediaan untuk mengerjakan ibadah haji akan juga termasuk Kursus Haji yang di selenggarakan oleh Tabung Haji di masjis-masjid terpilih seluruh negara. Untuk makluman semua, kursus-kursus ini boleh di sertai oleh semua muslimin dan muslimat tampa mengira umur. Kursus ini adalah percuma dan hanya mengenakan yuran yang minimum tertakluk kepada AJK masjid. Kursus-kursus persediaan haji ini bermula pada bulan-bulan awal setiap tahun. Bakal-bakal jemaah amat di galakkan untuk mengikuti kursus ini walaupun masih belum mendapat pengesahan daripada Lembaga Tabung Haji.
Selain daripada kursus pengajian, persediaan-persediaan lain adalah termasuk persediaan fizikal, persediaan pakaian dan makanan. Kita boleh merujuk kepada mana-mana buku rujukan haji, risalah Lembaga Tabung Haji dan juga sesetengah Laman Web.
Walaupun segala persediaan telah di buat, ada kemungkinan sesetengah jemaah akan terlupa untuk menyediakan persiapan yang selengkapnya oleh kerana masa yang suntuk atau terlalu sibuk dengan persediaan-persediaan lain.
Sekiranya anda mempunyai saudara terdekat yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini, saya sarankan agar pergi menziarahi bakal-bakal haji ini sebelum mereka berangkat. Sambil-sambil memohon maaf dan berhari raya, adalah juga di harapkan agar mereka akan teringatkan anda semasa bermunajat di Tanah Suci nanti dan tolong mendoakan yang terbaik untuk anda.
Ketika berkunjung, saya sarankan agar anda membawa buah tangan 'Serunding' untuk mereka. Ya, Serunding Daging, Ayam atau Ikan. Pesankan kepada mereka agar membawanya ketika berangkat ke Padang Arafah dan Mina.
Kenapa saya sarankan serunding sebagai buah tangan? Diantara sebabnya ialah kerana semasa di sana pergerakan semua ahli rombongan haji termasuk tukang masak dan mutawif haji adalah terbatas. Bekalan makanan yang di sediakan adalah hanya sekadar apa yang termampu sahaja. Bayangkan jutaan umat Islam yang mengerjakan haji akan tertumpu kesana dalam tempoh yang sama dan semuanya akan menumpukan perhatian terhadap Ibadah Haji mereka. Maka serba-serbinya adalah terbatas.
Tidak kira samada jemaah mengikuti 'Pakej Khas VIP' atau 'Muasasah' makanan di sana akan menjadi 'CoBaaAnn!' buat semua jemaah haji (Tidak di galakkan untuk mengungkit-ngungkit perihal makanan lebih-lebih lagi semasa berada di tanah suci). Sebagai gambaran, sekiranya anda sebelum ini langsung tidak meminati Mee Segera, apabila disana anda akan mendapati bahawa makanan seperti Mee Segera jenama 'seberang' adalah juga makanan yang tidak kurang lazatnya. Harga Mee segera semasa musim wukuf di Arafah dan Mina akan naik sehingga dua dan tiga kali ganda kerana permintaannya yang tinggi (di bekalkan oleh rakyat Indonesia yang bertugas di Tanah Suci).
Sekadar ingin berkongsi pengalaman; Semasa kami berada di Mina, setiap kali hidangan di agih-agihkan, kami dapati ada seorang warga tua yang di tempatkan berhampiran dengan kami tidak mahu makan kerana tiada selera. Makanan yang beliau mampu ambil hanyalah biskut kering, buah-buahan yang di bekalkan dan air zam-zam. Melihat kepada perkara ini kami berasa simpati dan menawarkan 'Serunding Daging' serta 'Sambal Cili Kering' yang baru kami temui dalam beg bekalan kami (bekalan ini telah di sediakan oleh seorang saudara terdekat yang telah pergi mengerjakan Haji).
Sebaik sahaja warga tua tersebut menjamah nasi, 'Serunding Daging' serta 'Sambal Cili kering' tersebut, seleranya terus kembali pulih dan tergambar kepuasan di wajahnya apabila menjamah hidangan tersebut. Setiap kali waktu makan warga tua ini akan meminta bekalan serunding dan sambal bagi membantu selera beliau. Masalahnya, bekalan yang kami ada cuma boleh bertahan cuma tiga kali hidangan sahaja kerana ianya menjadi 'fast moving item' yang di kongsi bersama jemaah-jemaah haji yang lain.
Sekurang-kurangnya kami merasa berpuas hati apabila melihat rakan-rakan yang lain dapat makan dengan berselera dan dapat memulihkan tenaga masing-masing. Pendek kata, sesedap rasa serunding yang kita jamah semasa di tanah air, rasa 'Serunding' dan 'Sambal kering' yang di jamah oleh jemaah haji di sana akan menjadi berpuluh kali ganda lazatnya berbanding ditanah air sendiri. Wallahua'lam.
Jika anda tidak percaya, cubalah bekalkan beberapa paket serunding yang siap dipekkan dengan sempurna . Apabila mereka pulang nanti tanyakan akan hal serunding anda. Niatkan ianya sebagai sedekah dan amal jariah yang boleh di kongsikan kepada seramai jemaah haji yang mungkin.
جزاك اللهُ خيراً
No comments:
Post a Comment